=)

Dialah(Allah)yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)(Al Mulk:2)

Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts

Saidina Uthman Bin Affan r.a
Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah lima tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Beliau ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk agama Islam. Saidina Uthman r.a sebelum diutuskan Rasulullah merupakan orang yang amat kagum terhadap peribadi Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perjalanan pulang dari berniaga ke Syam beliau berehat dibawah pohon disuatu tempat yang terletak antara Ma’an dan Rizka’.Dia tertidur dan bermimpi ada orang memberitahu bahawa Ahmad (Rasulullah) telah dibangkitkan di Mekah. Dia amat gembira mendapat mimpi itu. Ketika sampai di Mekah didapati mimpinya memang benar, Nabi Muhammad s.a.w telah diutuskan oleh Allah menjadi rasul, kemudian Saidina Abu Bakar r.a telah menganut agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Apabila Saidina Abu Bakar membisikkan kepadanya supaya memeluk Islam, beliau dengan tenang hati menerimanya. Beliau rela meninggalkan kedudukan yang mulia dikalangan kaumnya dan meninggalkan hidup mewah semata-mata kerana Islam.Beliau menemui Rasulullah SAW dan menyatakan keIslamannya, serta sedia berkorban apa jua untuk mempertahankan Islam .Rasulullah menghargai keIslaman Saidina Utsman r.a dengan menggelar sebagai Muhajir iaitu orang yang berhijrah dengan ungkapan (maksudnya),”Muhajir yang pertama selepas nabi Luth Alaihisalam. Sewaktu diugut oleh Hakam bin Abil’as supaya kembali kepada agama jahiliyah ,Saidina Uthman r.a tetap berpendirian tegas. Katanya ,”demi Allah saya tidak akan meniggalkan agama Allah dan tidak akan berpisah dengannya selama-lamanya”.
Seorang hartawan dan dermawan ,lemah lembut,berdiplomasi,tidak mudah marah dan kuat beribadah. Beliau adalah seorang daripada sahabat Nabi yang rapat dan dijamin syurga oleh Nabi. Beliau terkenal sebagai seorang dermawan yang banyak mengorbankan harta untuk kepentingan Islam. Saidina Uthman r.a telah banyak berkorban harta benda untuk menegakkan Islam terutamanya menyerahkan harta untuk berperang menghadapi musuh.Dalam peperangan Tabuk mengikut Ibnu Shihab Ai-Zahri, Saidina Uthman telah memberi 940 ekor unta dan 60 ekor kuda. Khuzaifah pula memberitahu Saidina Uthman datang berjumpa rasulullah menyerahkan 10 000 Dinar. Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya),”Allah telah mengampuni dosa-dosamu, Uthman! banyak yang kamu sembunyikan atau kamu nyatakan ,begitu juga apa yang terjadi sehingga hari kiamat.

Beliau menyertai semua peperangan pada zaman Nabi kecuali Perang Badar. Beliau merupakan seorang juru tulis wahyu. Beliau telah diberikan gelaran Zun-Nurain yang ertinya yang memiliki dua cahaya kerana memperisterikan 2 orang puteri Nabi iaitu Ruqaiyah dan Umi Khalthum. Beliau berkahwin dengan Ruqaiyah dan setelah Ruqaiyah meninggal dunia, Rasulullah mengahwinkannya dengan Umi Khalthum. Demikian besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w. terhadap Saidina Uthman r.a. Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadanya, "Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu.
Menjadi orang yang mula-mula berhijrah dalam zaman Rasullullah dan utusan Rasullulah untuk berunding dengan pembesar Mushrikin Quraisy Mekah dalam peritiwa Hudaibiah.
Saidina Uthman menjadi khalifah pada usia 70 tahun selepas Saidina Umar Al-Khatab yang dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran ,sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Umar melantik saudaranya sebagai pentadbir jajahan baru Islam. Enam tahun pertama pemerintahannya dianggap aman manakala enam tahun terakhir pula dianggap keadaan huru-hara. Beliau juga berjaya menghabiskan usaha pengumpulan Al Quran yang dimulakan oleh Saidina Abu Bakar (khalifah pertama Islam). Ketika beliau menjadi khalifah, berlaku pertelingkahan dikalangan umat Islam mengenai cara bacaan Al-Quran. Disebabkan oleh itu Uthman bin Affan telah meminjam suhuf, (kumpulan penulisan Al-Quran daripada Hafsa. Selepas itu Uthman bin Affan telah memerintahkan empat orang sahabat untuk menyalin semula Al-Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman. Salinan Mushaf Uthman tersebut dihantar keseluruh pusat jajahan bagi mengantikan salinan-salinan yang lain.
Setelah memeluk Islam, Uthman r.a termasuk orang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w. kerana kemuliaan dan kehalusan budi pekertinya. Memang sesungguhnya Saidina Uthman Bin Affan r.a terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat tinggi budi perkertinya, sangat penyantun, lemah lembut lagi pemalu. Sebagai memperlihatkan kecintaan dan penghargaan Rasulullah s.a.w. kepadanya itulah maka beliau telah menjadi pilihan baginda untuk dikahwinkan dengan puteri-puterinya seorang demi seorang selepas meninggal seorang lepas satunya. Sebagai memuji keluhuran budi akhlaknya itulah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, "Malaikat sangat malu kepadamu hai Uthman. ”Dalam suatu riwayat lain dikisahkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Aku bermohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorang pun yang pernah menjadi menantuku atau menjadi mentuaku dimasukkan ke dalam neraka.” Hal yang demikian itu tercapai oleh Saidina Uthman r.a kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.” Memang Rasulullah s.a.w. biasanya tidak keberatan menerima kedatangan para sahabatnya dalam berpakaian yang biasa sahaja, tetapi apakala diketahui bahawa Saidina Uthman r.a akan datang mengunjunginya, maka baginda pun mengenakan pakaiannya yang sewajarnya sebagai menghormati sahabatnya yang disegani sendiri oleh para malaikat. Sebuah hadis menceritakan peribadi Saidina Uthman yang amat pemalu, maksudnya:Aisyah bertanya kepada rasullullah s.a.w “Wahai rasullullah ! saya tidak melihat engkau berkemas untuk menerima kedatangan Abu Bakar dan Umar sebagaimana yang engkau lakukan terhadap Uthman”.Jawab rasulullah s.a.w dengan sabdanya ”Uthman itu seorang yang amat pemalu dan sekiranya saya izinkan ia masuk sewaktu saya sedang baring ,tentulah ia akan malu untuk masuk dan akan kembali sebelum ia menyatakan keperluan dan sebelum saya dapat memenuhinya. Wahai Aisyah ,tidakkah saya akan malu terhadap orang yang disegani oleh malaikat?”.Orang yang paling penyayang dari kalangan umatku ialah Abu Bakar ,orang yang paling keras berpegang kepada agama ialah Umar dan orang yang paling pemalu ialah Uthman(maksud hadis).
Sewaktu pemberontak menghampiri rumahnya ,ada orang yang simpati dengan memberi tiga cadangan iaitu menentang dengan kekuatan tentera, menyelamatkan diri dan berlindung ke Mekah, menyelamatkan diri ke Syam dibawah pengaruh saudaranya Ma’awiyah.Jawab beliau tentang saranan engkau supaya aku keluar dan menentang mereka, maka demi Allah ,aku tidak mahu menjadi khalifah rasul yang pertama sekali menumpahkan darah. Tentang menyelamatkan diri ke Mekah, aku mendengar s.a.w bersabda (maksudnya): Ada seorang lelaki Quraisy yang berlindung di Mekah, padahal dengan berbuat demikian ia mendapat separuh dari seksa dunia, dan saya tidak mahu menjadi lelaki yang dikatakannya itu. Adapun pergi ke Syam, kerana disana ada Ma’awiyah, maka demi Allah ,Tidak! aku tidak akan meninggalkan tempat aku berhijrah dan berdekatan dengan rasulullah, selagi nyawa aku masih dikandung badan!. Saidina Uthman r.a telah mati dibunuh oleh pemberontak-pemberontak yang diketuai oleh al-Ghiffari yang mengepung rumahnya pada 35 Zulhijjah tahun 35 Hijrah.

Saidina Umar Al-Khattab r.a
Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khatab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia,megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani,tegas dalam kira bicara,berterus terang menyatakan pendapat dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun. Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Beliau seorang yang berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya. Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam.Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancam dan mengusir mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat. Beliau digelar “al-Faruq” yang bermaksud orang yang membezakan hak dengan yang batil. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang dihadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada ganguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad S.A.W juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.
Saidina Umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi ,tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang ditangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Pada tahun 625, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.
Semasa kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. iatu pada tahun 632 masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Ketika khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba,beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang-orang ramai. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam pada tahun 634 masihi.
Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat dengan berjaya menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi dan berjaya menamatkan Empayar Parsi, dan menawan Mesir , Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil. Pada tahun 637 , selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat. Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saidina Umar juga sangat prihatin dalam hal ehwal kebajikan rakyatnya dan merupakan pemimpin bertanggungjawab dan amanah. Antara kisah yang menggambarkan akhlak mulia dalam kepimpinan beliau ialah ketika pada suatu malam sedang beliau meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, beliau terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggal kanak-kanak itu. Saiddina Umar mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidina Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Sebenarnya wanita itu tidak mengetahui, bahawa tetamu yang datang itu adalah seorang Khalifah. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Keadaan tersebut membuatkan anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu. Wanita itu mengadu dan mengutuk Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, Saidina Umar memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitumal lalu mengambil sendiri beberapa karung gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu. Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari karung yang di bawanya, lalu terus memasakkan untuk wanita itu dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah Khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita itu dan anaknya. Melihat mereka gembira menghadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya..."Kata wanita itu tanpa menyedari bahawa orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri.
Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah . Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar.


1. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a
2. Khalifah Umar Bin Al Khattab r.a
3. Khalifah Usman Bin Affan r.a
4. Khalifah Ali Bin Abi Talib r.a
5. Thalhah Bin Abdullah r.a
6. Zubair Bin Awwam r.a
7. Sa'ad Bin Abi Waqqas r.a
8. Said Bin Zaid r.a
9. Abdurrahman Bin Auf r.a
10. Abu Ubaidillah Bin Jarrah r.a

Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Beliau merupakan orang pertama yang beriman dengan Allah dan RasulNya dari kalangan lelaki dewasa dan Khulafa' Ar-Rasyidin yang pertama selepas kewafatan Nabi S.A.W. Nama penuh beliau ialah Abdullah bin Abu Quhafah Usman bin Kaab At-Taimiy Al-Qurasyi. Ibunya bernama Ummul Khair Salma binti Sakhr bin Amir At-Taimiy. Dilahirkan pada tahun 51 sebelum hijrah bersamaan tahun 573 masihi iaitu 2 tahun selepas kelahiran Baginda S.A.W.
Beliau digelar As-Siddiq kerana membenarkan Rasulullah S.A.W dalam setiap perkara termasuklah berita mengenai Isra' Nabi S.A.W tatkala ramai manusia berasa ragu tentangnya. Beliau berkahwin dengan Qatilah binti Abdul Uzza dan Ummu Ruman binti Amir pada zaman sebelum Islam manakala pada zaman selepas Islamnya, beliau berkahwin dengan Asmak binti Umais dan Habibah binti Kharijah. Beliau mempunyai beberapa orang anak dan yang mashyurnya ialah Aishah r.a yang menjadi isteri kepada Baginda S.A.W dan digelar sebagai ibu bagi orang-orang yang beriman.
Beliau juga dikenali sebagai Al-Atiq iaitu orang yang mendapat pembebasan daripada api neraka sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud: Wahai Abu Bakar ! Kamu merupakan orang yang dibebaskan oleh Allah daripada api neraka - riwayat At-Tirmizi. Antara sifat terpuji beliau ialah sebagaimana yang disebut oleh Imam Fakhrurrazi dalam tafsirnya: Beliau bersifat dengan rahmah dan kasih kepada orang Islam, keras terhadap orang kafir. Beliau sangat menyintai Rasulullah S.A.W dan sanggup turut marah apabila ada orang membuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan Rasulullah S.A.W walaupun orang itu adalah daripada kalangan sahabat lain sendiri.
Beliau sentiasa berada di samping Rasulullah S.A.W ketika senang dan susah. Menjadi peneman Baginda S.A.W dalam hijrah sehingga kisah ini dirakam dalam Al-Quran menjadi renungan dan teladan sehingga Hari Kiamat. Apabila Rasulullah S.A.W sakit tenat, beliau diamanahkan oleh Baginda S.A.W untuk memikul tanggungjawab dalam urusan penting seperti menjadi imam solat, amir umat Islam menunaikan ibadat haji pada tahun 9 hijrah dan sebagainya. Beliau mempunyai pendirian yang cukup hebat dan teguh ketika umat Islam berada dalam keadaan terkejut dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. Beliau, setelah menziarahi jenazah Rasulullah S.A.W terus menyampaikan ucapan yang mengembalikan semula ketenangan di saat genting itu dengan katanya yang bermaksud: Wahai manusia! sesungguhnya sesiapa yang beriman dengan Muhammad, maka Muhammad telah wafat dan sesungguhnya sesiapa yang beriman dan menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup tidak mati. Lalu beliau membaca ayat 30 surah Az-Zumar yang bermaksud: Sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) akan mati dan sesungguhnya mereka (manusia ) juga akan mati dan ayat 144 surah Ali Imran yang bermaksud: Dan tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah pun didahului sebelumnya oleh Rasul-Rasul yang lain. Maka jika dia mati atau dibunuh, apakah kamu akan berpaling tadah dan sesiapa yang berpaling tadah, maka segala sesuatu itu tidak memudaratkan Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan yang baik kepada orang-orang yang bersyukur.
Setelah itu, Saidina Abu bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah Rasulullah S.A.W yang pertama bagi memimpin umat ini pada tahun 11 hijrah. Beliau telah menyampaikan ucapan dasarnya yang menjadi kajian dan ikutan segala kerajaan yang beriman kepada Allah dan RasulNya diatas muka bumi ini dengan katanya: Wahai manusia ! Sesungguhnya saya telah dilantik sebagai pemimpin kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik. Maka sekiranya kamu melihat saya berada diatas kebenaran dan keadilan, bantulah saya dan sekiranya kamu melihat saya diatas kebatilan dan kezaliman, cegah dan halanglah saya.
Agenda utama beliau setelah itu ialah memastikan kestabilan kerajaan Islam Madinah dengan membasmi golongan musuh dalam selimut yang terdiri daripada mereka yang enggan membayar zakat dan murtad daripada agama Allah. Beliau terus mengukuhkan kedudukan negara Islam dengan membuka Syam dan sebahagian besar Iraq. Beliau juga mengarahkan Al-Quran dikumpul dan ditulis agar terpelihara kerana kesyahidan ramai para penghafaz Al-Quran dalam peperangan di zaman itu.
Setelah menabur jasa untuk Islam sepanjang hayat dan memimpin umat Islam selama 2 tahun 3 bulan, maka pada malam selasa bulan Jamadil Thani tahun 13 hijrah dalam umur 63 tahun, beliau telah meninggal dunia dengan catatan sejarah yang cukup hebat dan mengagumkan dalam kehidupan seorang manusia yang dikasihi Allah dan RasulNya.

Related Posts with Thumbnails
Click Me~
Powered By Blogger

Demi masa

About Me

My photo
Seorang hamba Allah yg mengharapkan redha-Nya,mengharapkan petunjuk-Nya dan mengharapkan pimpinan Allah selalu. "Ya Allah,jadikanlah aku hamba-Mu yg sabar dan kuatkanlah hatiku dalam menghadapi ujian dari-Mu dan.. luruskanlah langkahku...luruskanlah hatiku..amiin...".

About this blog

iluvislam

Followers flowers.

My Blog List

FREE PALESTINE