1. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a
2. Khalifah Umar Bin Al Khattab r.a
3. Khalifah Usman Bin Affan r.a
4. Khalifah Ali Bin Abi Talib r.a
5. Thalhah Bin Abdullah r.a
6. Zubair Bin Awwam r.a
7. Sa'ad Bin Abi Waqqas r.a
8. Said Bin Zaid r.a
9. Abdurrahman Bin Auf r.a
10. Abu Ubaidillah Bin Jarrah r.a

Khalifah Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Beliau merupakan orang pertama yang beriman dengan Allah dan RasulNya dari kalangan lelaki dewasa dan Khulafa' Ar-Rasyidin yang pertama selepas kewafatan Nabi S.A.W. Nama penuh beliau ialah Abdullah bin Abu Quhafah Usman bin Kaab At-Taimiy Al-Qurasyi. Ibunya bernama Ummul Khair Salma binti Sakhr bin Amir At-Taimiy. Dilahirkan pada tahun 51 sebelum hijrah bersamaan tahun 573 masihi iaitu 2 tahun selepas kelahiran Baginda S.A.W.
Beliau digelar As-Siddiq kerana membenarkan Rasulullah S.A.W dalam setiap perkara termasuklah berita mengenai Isra' Nabi S.A.W tatkala ramai manusia berasa ragu tentangnya. Beliau berkahwin dengan Qatilah binti Abdul Uzza dan Ummu Ruman binti Amir pada zaman sebelum Islam manakala pada zaman selepas Islamnya, beliau berkahwin dengan Asmak binti Umais dan Habibah binti Kharijah. Beliau mempunyai beberapa orang anak dan yang mashyurnya ialah Aishah r.a yang menjadi isteri kepada Baginda S.A.W dan digelar sebagai ibu bagi orang-orang yang beriman.
Beliau juga dikenali sebagai Al-Atiq iaitu orang yang mendapat pembebasan daripada api neraka sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi S.A.W yang bermaksud: Wahai Abu Bakar ! Kamu merupakan orang yang dibebaskan oleh Allah daripada api neraka - riwayat At-Tirmizi. Antara sifat terpuji beliau ialah sebagaimana yang disebut oleh Imam Fakhrurrazi dalam tafsirnya: Beliau bersifat dengan rahmah dan kasih kepada orang Islam, keras terhadap orang kafir. Beliau sangat menyintai Rasulullah S.A.W dan sanggup turut marah apabila ada orang membuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan Rasulullah S.A.W walaupun orang itu adalah daripada kalangan sahabat lain sendiri.
Beliau sentiasa berada di samping Rasulullah S.A.W ketika senang dan susah. Menjadi peneman Baginda S.A.W dalam hijrah sehingga kisah ini dirakam dalam Al-Quran menjadi renungan dan teladan sehingga Hari Kiamat. Apabila Rasulullah S.A.W sakit tenat, beliau diamanahkan oleh Baginda S.A.W untuk memikul tanggungjawab dalam urusan penting seperti menjadi imam solat, amir umat Islam menunaikan ibadat haji pada tahun 9 hijrah dan sebagainya. Beliau mempunyai pendirian yang cukup hebat dan teguh ketika umat Islam berada dalam keadaan terkejut dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. Beliau, setelah menziarahi jenazah Rasulullah S.A.W terus menyampaikan ucapan yang mengembalikan semula ketenangan di saat genting itu dengan katanya yang bermaksud: Wahai manusia! sesungguhnya sesiapa yang beriman dengan Muhammad, maka Muhammad telah wafat dan sesungguhnya sesiapa yang beriman dan menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup tidak mati. Lalu beliau membaca ayat 30 surah Az-Zumar yang bermaksud: Sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad ) akan mati dan sesungguhnya mereka (manusia ) juga akan mati dan ayat 144 surah Ali Imran yang bermaksud: Dan tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah pun didahului sebelumnya oleh Rasul-Rasul yang lain. Maka jika dia mati atau dibunuh, apakah kamu akan berpaling tadah dan sesiapa yang berpaling tadah, maka segala sesuatu itu tidak memudaratkan Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan yang baik kepada orang-orang yang bersyukur.
Setelah itu, Saidina Abu bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah Rasulullah S.A.W yang pertama bagi memimpin umat ini pada tahun 11 hijrah. Beliau telah menyampaikan ucapan dasarnya yang menjadi kajian dan ikutan segala kerajaan yang beriman kepada Allah dan RasulNya diatas muka bumi ini dengan katanya: Wahai manusia ! Sesungguhnya saya telah dilantik sebagai pemimpin kamu sedangkan saya bukanlah yang terbaik. Maka sekiranya kamu melihat saya berada diatas kebenaran dan keadilan, bantulah saya dan sekiranya kamu melihat saya diatas kebatilan dan kezaliman, cegah dan halanglah saya.
Agenda utama beliau setelah itu ialah memastikan kestabilan kerajaan Islam Madinah dengan membasmi golongan musuh dalam selimut yang terdiri daripada mereka yang enggan membayar zakat dan murtad daripada agama Allah. Beliau terus mengukuhkan kedudukan negara Islam dengan membuka Syam dan sebahagian besar Iraq. Beliau juga mengarahkan Al-Quran dikumpul dan ditulis agar terpelihara kerana kesyahidan ramai para penghafaz Al-Quran dalam peperangan di zaman itu.
Setelah menabur jasa untuk Islam sepanjang hayat dan memimpin umat Islam selama 2 tahun 3 bulan, maka pada malam selasa bulan Jamadil Thani tahun 13 hijrah dalam umur 63 tahun, beliau telah meninggal dunia dengan catatan sejarah yang cukup hebat dan mengagumkan dalam kehidupan seorang manusia yang dikasihi Allah dan RasulNya.