Saidina Umar Al-Khattab r.a
Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khatab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia,megah, dan berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani,tegas dalam kira bicara,berterus terang menyatakan pendapat dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah satu khalifah di dalam Khulafa al-Rasyidun. Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Beliau seorang yang berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya. Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu. Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir. Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi. Beliau kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam.Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancam dan mengusir mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat. Beliau digelar “al-Faruq” yang bermaksud orang yang membezakan hak dengan yang batil. Gelaran ini diberikan oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk bersembahyang dihadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada ganguan orang-orang Quraish. Nabi Muhammad S.A.W juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana kegagahannya.
Saidina Umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara bersembunyi ,tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang ditangannya sedia menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya. Pada tahun 625, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.
Semasa kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. iatu pada tahun 632 masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Ketika khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba,beliau memanggil sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari kalangan sahabat dan orang-orang ramai. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam pada tahun 634 masihi.
Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat dengan berjaya menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi dan berjaya menamatkan Empayar Parsi, dan menawan Mesir , Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil. Pada tahun 637 , selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat. Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saidina Umar juga sangat prihatin dalam hal ehwal kebajikan rakyatnya dan merupakan pemimpin bertanggungjawab dan amanah. Antara kisah yang menggambarkan akhlak mulia dalam kepimpinan beliau ialah ketika pada suatu malam sedang beliau meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, beliau terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggal kanak-kanak itu. Saiddina Umar mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidina Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Sebenarnya wanita itu tidak mengetahui, bahawa tetamu yang datang itu adalah seorang Khalifah. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Keadaan tersebut membuatkan anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu. Wanita itu mengadu dan mengutuk Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, Saidina Umar memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitumal lalu mengambil sendiri beberapa karung gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu. Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari karung yang di bawanya, lalu terus memasakkan untuk wanita itu dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah Khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita itu dan anaknya. Melihat mereka gembira menghadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya..."Kata wanita itu tanpa menyedari bahawa orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri.
Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah . Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar.